Anda mungkin dah tahu bahawa terlalu banyak manafaat & fadhilat bila anda berselawat. Namun sejauhmana anda amalkannya & Adakah anda (juga saya) konsisten & bersungguh-sungguh dalam melakukannya? Jika tidak, saya rasa anda (juga saya) perlu tahu lebih detail tentang SELAWAT ini agar diri lebih bermotivasi & konsistensi mengamalkannya, bukan sekadar tahu macam tu saja…
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Ibnu Hanbal, sesungguhnya telah datang seorang sahabat berjumpa baginda Nabi SAW seraya berkata:
“Wahai Rasulullah, Apakah pandangan Tuan jika saya jadikan doa saya semuanya adalah selawat ke atas kamu?”
Lalu Rasulullah SAW menjawab:“Jika begitu, maka Allah Taala akan mencukupkan bagi kamu segala kepentingan (keinginan) kamu, dari hal kedunian serta akhirat kamu!”
Mengapa sehebat itu? Apa rahsianya? Hakikatnya SELAWAT itu mengandungi untaian zikir kepada Allah & penzahiran bahawa Rasulullah SAW amat tinggi darjatnya dengan melebihkan baginda SAW dalam ketika berdoa, melebihi doa untuk diri sendiri… Ini dinamakan ‘iithaar’.Apa yang dimaksudkan dengan ‘iithaar’? Pernah anda dengar sebelum ini? Baiklah saya terangkan… ‘iithaar’ dalam Islam bermaksud melebihkan orang lain/saudaranya (Islam) berbanding dirinya sendiri. Ianya amat tinggi darjatnya di sisi Allah melebihi dari ‘ukhuwwah Islamiyah’ yang hanya tertumpu kepada saudara se Islam yang lain termasuk diri sendiri. Namun ‘iithaar’ ini melepasi batasan diri dengan menyintai saudaranya lebih dari dirinya sendiri! Subhaanallah!
Saya mengambil kesempatan ini juga untuk berkongsikan sebahagian dari kelebihan amalan SELAWAT ke atas Nabi ini. Amat banyak nak disenaraikan kesemuanya, maka saya nyatakan sebahagian darinya untuk kita saling memotivasi sesama sendiri.
Antara fadhilat hebat berSELAWAT adalah;
1- Ia penyebab dimakbulkan segala doa
2- Dicatatkan buatnya 10 hasanah
3- Dihapuskan Allah untuknya 10 dosa
4- Diangkat baginya 10 darjat
5- Dimudahkan mendapat Syafaat Rasulullah di akhirat
6- Penyebab termakbulnya segala hajat
7- Dijauhkan dari kemiskinan & kepapaan
8- Diselamat dari orang terhadapnya
9- Dicukupkan Allah segala keperluan dalam hidupnya
10-Dilembutkan hatinya menerima hidayah Allah
11-Diberkati umurnya & segala kerja yang dilakukannya
12-Mensuci & membersih jiwa juga hati
13-Dijauhkan dari sifat bakhil & pentingkan diri
14-Mengundang kasih sayang Allah & manusia kepadanya
15-Mendapat pahala menderma bagi yang tiada harta dunia
16-Menguatkan ingatan & mengelakkan dari diri jadi pelupa
17-Diselamatkan dari suasana yang amat menakutkan di akhirat
18-Dekat dengan Rasulullah di akhirat kelak
19-Dipermudahkan melepasi titian ‘Sirat’
20-Nabi SAW menjawab setiap selawat & salam kepada Baginda
21-Dirinya dicintai Rasulullah SAW & disyafati di akhirat
Ini hanya sebahagian dari kelebihan yang mampu dicatatkan berkenaan fadhilat utama dalam amalan berSELAWAT. Sesungguhnya ia amat luas & jauh lagi hebat!… Memang bertepatan dengan status Baginda SAW yang merupakan Rasul teragung di kalangan semua Rasul yang diutuskan & Baginda juga kekasih Allah.
Marilah sama-sama kita mengamalkan 3 selawat yang sering diamalkan oleh orang-orang soleh pada setiap masa dan ketika terutamnya selepas solat fardhu & solat sunat.
Pertamanya Solawat Munjiah (Selawat Penyelamat)
Ertinya: “Wahai Allah, kurniakanlah rahmat dan kemuliaan (selawat) serta salam ke atas junjungan Nabi SAW, semoga dengan (keberkatan) itu, Engkau selamatkan kami dari segala bencana dan musibah, dan bersihkan kami dari segala kesalahan, tunaikan segala hajat kami, dan tinggikan darjat kami, dan sampaikan cita-cita kami dalam segala perkara yang baik, sama ada dalam kehidupan ini atau sesudah mati kami, begitu juga (selawat) ke atas keluarganya dan para sahabat serta salam yang sebanyak-banyaknya.”
Kedua adalah Selawat Tafrijiah (Selawat Pelepasan)
Ertinya: “Wahai Allah, limpahkanlah rahmat (selawat) yang penuh dan kesejahteraan yang sempurna ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW yang terangkai dengan berkahnya segala macam merumitan, dan terlepas dari segala macam kesusahan serta ditunaikan segala hajat-hajat, dan tercapai dengan berkahnya segala macam keinginan serta kesudahan yang baik, dan diturunkan hujan, dengan berkat kemuliaannya. (Selawat) juga ke atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya pada setiap detik dan hembusan nafas dan dengan bilangan sebanyak yang diketahui oleh-Mu.”
Selawat ketiga adalah Selawat Syifa’ (Selawat Penyembuhan)
Ertinya: ‘Wahai Allah, kurniakanlah rahmat (selawat) ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW, pengubat bagi segala penyakit hati dan penawarnya, juga menyihatkan badan dan penyembuhnya (dari segala penyakit), dan memberi cahaya penglihatan dan menyinarkannya, dan bekalan jiwa (roh) dan makanannya. Dan (selawat juga) berserta keberkatan dan kesejahteraan ke atas keluarga dan sahabat-sahabatnya, pada setiap detik dan pernafasan dengan bilangan seluas ilmu Allah.”
Amalkan ketiga-tiga selawat di atas setiap selepas solat, InsyaAllah hidup akan lebih berkat, sihat, ceria & bahagia. Alhamdulillah syukur pada-Nya Tuhan seisi alam.
Wallaahua’lam Bissowab!
Posting Komentar